Rabu, 05 Maret 2014

Haji Dan Hajah Gembira Anak Jadi Graduan Terbaik


ALOR GAJAH – Sepasang suami isteri yang baharu pulang daripada mengerjakan haji, meluahkan rasa syukur kerana anak mereka Khalida Ahmad Juhaihi muncul sebagai graduan terbaik keseluruhan (Diploma) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka.

Faridah Bohli, 50, berkata beliau dan suami Ahmad Julaihi Zen, 52, tiba di Kuching, Sarawak pukul 7 malam semalam sebelum menaiki pesawat ke ibu negara untuk ke sini pada pukul 8 pagi tadi.

Bagaimanapun mereka terlepas peluang untuk menyaksikan anak keempat daripada lima beradik itu menerima anugerah daripada Pro-Canselor UiTM Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad kerana tiba selepas istiadat selesai pada 11.30 pagi.

“Walaupun terlepas peluang menyaksikan sendiri anak kami terima anugerah, kami tetap gembira berpeluang berada bersama anak saya dan ahli keluarga yang lain pada majlis konvokesyen ini,” katanya kepada pemberita.

Sebanyak 2,680 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing pada majlis yang julung kali diadakan di kampus Melaka dan berlangsung selama tiga hari sehingga Khamis.

Daripada jumlah itu, 1,402 merupakan graduan diploma manakala 1,278 menerima ijazah sarjana muda.
Bercerita lanjut, Faridah berkata sebelum ini beliau dan suami berpeluang menyaksikan konvokesyen tiga anak lelaki yang juga lulusan UiTM, namun anugerah yang diterima oleh Khalida merupakan yang pertama dalam keluarga mereka.

Sementara itu Khalida yang menerima Diploma Sains Kuantitatif, berkata beliau akan melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Australia Februari depan.

“Tiga faktor kejayaan saya ialah usaha, berkat doa ibu bapa dan tawakal… saya akan memaklumkan ibu dan ayah setiap kali ada ujian atau peperiksaan tidak kira kecil atau besar supaya mereka doakan untuk mudah menjawab soalan,” kata pelajar yang turut menerima Anugerah Naib Canselor itu.

Rektor UiTM Melaka Prof Madya Dr Mohd Adnan Hashim berkata sebanyak 1,099 graduan dari Fakulti Perakaunan; Sains Komputer dan Matematik; Farmasi; Seni Lukis dan Seni Reka, Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi; Pengurusan Hotel dan Pelancongan; serta Perladangan dan Agroteknologi menerima diploma dan ijazah masing-masing pada sidang pertama dan kedua hari ini.

“Daripada jumlah itu juga, 192 graduan menerima Anugerah Naib Canselor atas pencapaian cemerlang mereka yang memperoleh Anugerah Dekan bagi setiap semester sepanjang tempoh pengajian mereka,” katanya.- BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar